Skip to main content

Penglipurlena

Anak Peladang yang Malas

Anak Peladang yang Malas

Seorang peladang tinggal dengan isteri dan anaknya. Peladang ini sangat rajin bekerja. Mereka sekeluarga hidup bahagia.

Dikurniakan dengan rezeki tanah yang subur, Peladang sentiasa bekerja keras bercucuk tanam mencari pendapatan untuk keluarga. Namun, anak mereka sangat malas. Setiap hari dia hanya duduk di rumah atau bermenung di bawah pokok.

Peladang merasa risau kerana anaknya malas. Dia fikir jika anaknya teruskan sikap ini, dia akan susah bila dewasa nanti.

Beberapa tahun berlalu dan peladang yang sudah tua jatuh sakit. Sakitnya semakin lama semakin teruk. Dia terasa bahawa hidupnya sudah tidak berapa lama lagi. Dia memanggil anaknya yang malas itu.

“Di dalam tanah kita ini ayah ada tanam sebuah peti yang penuh dengan emas. Apabila ayah tidak ada lagi nanti, galilah dan carilah peti itu,” kata peladang. Selepas itu peladang pun meninggal dunia.

Setelah beberapa lama, kehidupan isteri peladang dengan anaknya menjadi susah. Sudah tidak ada lagi tanaman yang boleh mendatangkan hasil.

“Mengapa kamu tidak cari peti emas yang ayah kamu pesan dahulu?” tanya si ibu.

Mendengarkan kata ibunya, anak peladang mulalah mencangkul dan menggali tanah di kawasan rumahnya. Betapa pun digali namun dia tidak jumpa peti itu. Luaslah sudah tanah yang dicangkul dan ditebaknya.

Akhirnya berfikirlah anak peladang itu. Bukan peti emas yang dimaksudkan oleh ayahnya. Dia pun bercucuk tanamlah di atas tanah yang sudah dicangkul dan ditebak itu.

Lama-kelamaan tanaman itu memberikan hasil yang banyak. Tahulah dia kini, apakah peti emas yang dimaksudkan oleh ayahnya dahulu. Senanglah hidup si anak peladang dan ibunya.

Pengajaran

Kerja keras dan usaha gigih adalah “harta karun” yang sebenar dalam kehidupan. Kejayaan dan kesenangan tidak datang daripada sikap malas atau bergantung kepada perkara ghaib, sebaliknya lahir daripada kegigihan bercucuk tanam dan berusaha mencari rezeki yang halal.

💡 Tahukah Anda?

  • Kisah peladang dan peti emas di dalam tanah merupakan fabel klasik yang terkenal di pelbagai budaya dunia untuk mengajar generasi muda tentang nilai kerja keras.
  • Sektor pertanian dan bercucuk tanam merupakan antara kegiatan ekonomi paling awal dalam sejarah peradaban manusia yang membekalkan sumber makanan asas.

📚 Apa Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Cerita teladan “Anak Peladang yang Malas” menggunakan kiasan “peti emas” sebagai metafora kebijaksanaan seorang ayah untuk membimbing anaknya memahami bahawa kekayaan serta kejayaan sebenar hanya boleh dicapai menerusi titik peluh dan usaha gigih sendiri.
1. Apakah “peti emas” sebenar yang dimaksudkan oleh ayah kepada anak peladang itu?
2. Mengapakah bekerja keras lebih baik daripada bersikap malas dan bermenung sahaja?
Ajak anak-anak menanam benih sayuran ringkas (seperti taugeh atau kacang hijau) di dalam pasu kecil di rumah. Bimbing mereka menyiram dan menjaganya setiap hari supaya mereka merasai sendiri kepuasan serta hasil daripada usaha rajin mereka.